Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.” (Surah adz-Dzaariyat : Ayat 55)




Wednesday 15 June 2011

Solat Gerhana Bulan Dan Matahari

Assalamualaikum.
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم

Hadis Mengenai Gerhana Bulan dan Matahari

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna: Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang(hilang gerhana) apa dengan kamu.

Dari Aisyah r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW berdiri (di masjid) pada hari terjadi gerhana matahari, lalu baginda mengadakan solat gerhana dan membaca bacaan yang panjang (seukur seratus ayat surah al-Baqarah), kemudian beliau mengangkat kepala dan mengucapkan Sami’ Allahhu Liman Hamidah, dan beliau berdiri lalu membaca bacaan yang panjang, sedang bacaan (dalam berdiri yang kedua) ini sedikit berkurang daripada bacaan yang pertama, kemudian beliau rukuk dengan rukuk yang panjang, sedang rukuk ini berkurang dari rukuk pertama, kemudian beliau sujud dengan sujud yang panjang (bertasbih seukur bacaan seratus ayat), kemudian beliau bertindak sepadan demikian (rakaat pertama) itu pada rakaat yang akhir (kedua), Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bersyukurlah kepada solat gerhana” (Riwayat Bukhari)

Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash, beliau berkata: “Tatkala matahari gerhana pada masa Rasulullah SAW, maka diserukan : ‘as solatu jami`ah’. Lalu Rasulullah SAW melakukan dua kali rukuk dalam satu rakaat. Kemudian berdiri lagi dan melakukan dua kali rukuk dalam satu rakaat. Kemudian matahari kembali muncul. Aisyah berkata: “Aku sama sekali tidak pernah melakukan rukuk ataupun sujud yang lebih lama daripada itu” (Sahih Muslim)

PANDUAN SOLAT SUNAT GERHANA BULAN/MATAHARI

HUKUM SOLAT GERHANA

Sunat Muakkad ( مؤكدة)

CARA-CARA SOLAT

Dua (2) rakaat seperti sembahyang sunat yang lain. Cuma bezanya sebagaimana yang masyhur ia mempunyai 2 kali ruku’ dan 2 kali qiam di dalam satu rakaat. Ianya sunat ditunaikan secara berjemaah di Masjid/Surau dan boleh juga secara bersendirian.

CARA-CARA PELAKSANAANNYA

Solat gerhana matahari dan bulan ini boleh dilakukan dengan 3 cara :
Bagi gerhana matahari, bacaan dalam solat dibaca dengan diperlahankan suara ; adapun bagi gerhana bulan bacaan hendaklah dibaca dengan diangkat suara seperti mana-mana solat malam.

Cara Pertama : Cara yang paling ringkas. Iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat sepertimana solat sunat zuhur atau mana-mana solat sunat.

Cara Kedua : Disebut dengan “ أدنى الكمال ” iaitu hendaklah ditunaikan dengan dua rakaat, dengan dua kali qiam dan dua ruku’ pada tiap-tiap satu rakaat, disertai dengan bacaan al-Fatihah dan surah dalam tiap-tiap qiam itu.

Bagi kita di Malaysia ini, cara yang kedua inilah yang paling mudah dilaksanakan. Selepas takbir, dibaca doa iftitah dan al-Fatihah. Selepas selesai al-Fatihah, dibaca surah (mana-mana surah yang mampu). Kemudian ruku’ dan bangkit semula (qiam kedua). Di dalam qiam kedua ini dibaca al-Fatihah dan juga surah. Kemudian ruku’ semula (dipanggil ruku’ kedua).

Apabila bangkit I’tidal, terus sujud sebanyak dua kali. Apabila selesai sahaja dari sujud kedua dan bangkit barulah selesai rakaat yang pertama. Begitulah caranya bagi rakaat yang kedua.

Cara Ketiga : Cara yang paling sempurna. Caranya adalah seperti juga yang kedua akan tetapi dalam rakaat yang pertama dan qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Baqarah ataupun mana-mana surah yang sama panjang dengannya. Di dalam rakaat yang pertama juga tetapi qiam yang kedua dibaca surah ali-Imran. Dalam rakaat yang kedua qiam yang pertama hendaklah dibaca surah al-Nisa’, dan dalam qiam yang kedua pada rakaat kedua dibaca surah al-Maaidah. 

Kemudian hendaklah bertasbih dalam ruku’ yang pertama dengan kadar bacaan 100 ayat, dalam ruku’ yang kedua 80 ayat, ruku’ ketiga 70 ayat dan ruku’ yang keempat 50 ayat.

Waktunya

Waktu bagi solat gerhana matahari dan bulan ialah bermula dari ketika berlakunya gerhana sehinggalah selesai.

Tempat Solat

Solat gerhana sunat dilakukan di masjid atau surau atau mana-mana tempat yang biasa dilakukan solat berjemaah.

ATURAN SOLAT GERHANA

1. Disunatkan mandi sebelum solat.
2. Bilal Menyeru : ( الصِّلاَةُ جَامِعَةً )
3. Berdiri lurus mengadap kiblat.
4. Berniat mengerjakan solat gerhana.
(1) Lafaz niat untuk gerhana bulan

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ القَمَر رَكْعَتَينِ مَأمُوماً للهِ تَعَالَى

“ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat makmum kerana Allah
Ta’ala”.

(2) Lafaz niat untuk gerhana matahari

 أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ الشَمْسِ رَكْعَتَينِ مَأمُوماً للهِ تَعَالَى


“ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat makmum kerana Allah
Ta’ala”.

5. Takbiratul Ihram. Doa Iftitah, Bacaan Al-Fatihah dan Surah.
6. Ruku’ serta tasbihnya dan qiam semula.
7. Baca al-Fatihah dan Surah.
8. Ruku’, I’tidal kemudian sujud 2 kali (seperti biasa).
9. Kemudian qiam semula untuk mengerjakan rakaat kedua.
10. Baca al-Fatihah dan Surah.
11. Ruku’ berserta tasbihnya dan qiam semula.
12. Baca al-Fatihah lagi dan Surah.
13. Kemudian ruku’ I’tidal dan sujud 2 kali, baca tasyahhud akhir dan salam.
14. Selepas itu dibacakan khutbah khas sempena gerhana. Dua kali khutbah (seperti
khutbah Hari Raya).

INGATAN :

1. Makmum yang tertinggal ruku’ yang pertama samada dalam rakaat pertama atau
rakaat kedua, adalah dikira tidak mendapat rakaat itu dan dia hendaklah
menyempurnakan rakaat yang luput itu selepas Imam memberi salam.
2. Maklumat lanjut sila ruju’ kitab Sabilal Muhtadin, karangan Sheikh Mohd Arshad bin
Abdullah Al-Banjari, (Juz. 2 Hal. 58-60).
3. Sembahyang sunat gerhana matahari, segala bacaannya dilakukan dengan suara
perlahan ( سر ) , manakala bagi sembahyang sunat gerhana bulan, segala bacaannya
dilakukan dengan suara yang nyaring .(جهر)

Dari Aisyah r.a. berkata: Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bertandanglah kepada solat gerhana” (Riwayat Bukhari)




Wallahua'lam

Sumber : Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan Media Siber

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...