Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman.” (Surah adz-Dzaariyat : Ayat 55)




Tuesday 14 June 2011

Memahami Erti 'ZINA HATI'

Assalamualaikum.
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وبارك وسلم




“Apabila saya terlibat dengan kerja dakwah, barulah saya tahu saya telah banyak melakukan zina hati,” kata seorang pemuda.


            “Itulah dulu pun saya ada kekasih, dan kami saling cinta menyintai dan merancang untuk berkahwin apabila sampai masanya, tapi apabila saya tahu hubungan saya dengan dia tu menyebabkan saya dan dia terjebak dengan zina hati maka saya putuskan”


            Seringkali saya mendengar kata-kata seperti itu keluar melalui kata-kata atau tulisan daripada mereka yang melibatkan diri dengan gerak kerja persatuan-persatuan Islam atau kerja-kerja dakwah remaja.


            Pada mulanya saya buat tak kisah atau dengan kata lain buat tak pot kerana saya menganggap kes-kes itu sebagai kes terpencil yang biasanya berlaku di zaman sekolah menengah. Biasalah tu budak-budak sekolah yang baru dalam proses pra-matang kepada matang, baru nak up orang kata, pedulikanlah.


            Tapi apabila ada pelajar di peringkat universiti yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan mirip sebegitu, saya mula tertanya-tanya dan bersyak wasangka, “eh takkanlah pelajar universiti yang bakal keluar sebagai pemimpin masyarakat pun tak faham-faham lagi, mustahillah”.


            Tapi ternyata, sangkaan saya itu meleset sama sekali. Mimpi buruk melanda diri setelah melancong ke laman-laman web internet yang mempromosikan keislamikkan mereka. Saya terkejut apabila mendapati ketempangan yang cukup serius dalam memahami apa yang diistilahkan sebagai zina hati.


MAKSUD ZINA HATI DAN ZINA KECIL YANG LAIN


Sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam:
(إِنَّ اللهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا الْعَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ الْمَنْطِقُ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ وَيُكَذِّبُهُ). رواه البخارى (6/2438، رقم 6238)، ومسلم (4/2046، رقم 2657)، وأبو داود (2/246، رقم 2152)، والبيهقى فى شعب الإيمان (4/365، رقم 5428).


وفي رواية مسلم: (كُتِبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ نَصِيبُهُ مِنْ الزِّنَا مُدْرِكٌ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ فَالْعَيْنَانِ زِنَاهُمَا النَّظَرُ وَالْأُذُنَانِ زِنَاهُمَا الِاسْتِمَاعُ وَاللِّسَانُ زِنَاهُ الْكَلَامُ وَالْيَدُ زِنَاهَا الْبَطْشُ وَالرِّجْلُ زِنَاهَا الْخُطَا وَالْقَلْبُ يَهْوَى وَيَتَمَنَّى وَيُصَدِّقُ ذَلِكَ الْفَرْجُ وَيُكَذِّبُهُ).


 Maksudnya: (Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Zina mata itu adalah pandangan, zina lidah itu adalah ucapan, nafsu mengharap dan berkeinginan, dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya). Hadith riwayat Bukhari (6/2438, no 6238), Muslim (4/2046, no 2657), Abu Daud (2/246, no 2152), dan Imam Baihaqi dalam Shu’ab Iman (4/365, no 5428).


Dan dalam riwayat Imam Muslim: (Sesungguhnya Allah mencatatkan bahagian zina yang tidak dapat tidak berlaku ke atas anak-anak Adam. Mata itu zinanya pandangan, telinga itu zinanya mendengar, lidah itu zinanya ucapan, tangan itu zina melakukan kekerasan, kaki itu zinanya langkah, dan hati itu mengharap dan berkeinginan, dan mengiyakannya kemaluan atau mendustakannya)


            Hadith pertama menggunakan istilah zina nafsu, manakala hadith yang kedua pula menggunakan istilah zina hati. Hadith inilah yang menjadi hujah tentang wujudnya zina yang dinamakan dengan zina hati dan tidak syak lagi hadithnya adalah hadith yang sahih.


Tidak dipertikaikan kewujudan istilah zina hati dan asasnya dalam Islam, tetapi apa yang dipertikaikan adalah kegagalan ramai daripada kalangan mereka yang bercakap tentangnya untuk mengupasnya secara ilmiyyah sehingga adakalanya membuatkan remaja dan pemuda salah faham yang seterusnya menyebabkan berlakunya pemikiran yang tempang dalam beragama.


Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan zina hati? Adakah jatuh cinta kepada seseorang itu dianggap zina hati? Adakah teringatkan seseorang itu zina hati? Mungkin sebahagian daripada kita akan menjawab: “Ya, itulah zina hati”. Apabila ditanya lagi  mengapa itu zina hati? Jawab mereka: “Kerana kita mengingati seseorang yang ajnabi (bukan mahram) yang tidak halal buat kita”!!!


            Kalau anda meletakkan sebab pengharamannya adalah kerana dia ajnabi tidak halal bagi kita, bagaimana anda mahu menafsirkan firman Allah dalam Al-Qur’an tentang Sahabat Nabi yang teringatkan perempuan ajnabiyyah yang tidak halal buatnya?


            Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-235:
))عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَكِنْ لا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرّاً إِلَّا أَنْ تَقُولُوا قَوْلاً مَعْرُوفاً((


Dalam ayat ini dan ayat sebelumnya, menceritakan tentang عدة / iddah (tempoh suci) perempuan yang bercerai dengan suaminya. Kemudian ada lelaki ajnabi yang mengintai-intai peluang untuk melamar perempuan ini. Lalu Allah berfirman ((Allah Maha Mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan tersebut, tetapi jangan kamu berjumpa dengan perempuan itu secara rahsia kecuali dengan berkata-kata perkara yang baik)).


Syed Qutb dalam tafsirnya berkata: “Dan Allah telah mengharuskannya kerana itu berkaitan dengan kecenderungan fitrah yang halal pada asalnya, harus pada zatnya … dan Islam itu tidak menghancurkan kecenderungan fitrah tetapi membajainya, dan tidak menekan naluri kemanusiaan tetapi mengawalnya. (Rujuk Fi zilali Qur’an oleh Syed Qutb, jilid 1, m/s 238).


Bukankah perempuan yang baru berpisah dengan suaminya merupakan perempuan ajnabiyyah kepada lelaki lain yang mahu melamarnya??? Tapi mengapa Allah langsung tidak mengatakan kepada lelaki ajnabi itu tak boleh mengingati perempuan tetapi hanya berpada dengan berkata ((Allah Maha Mengetahui bahawa kamu akan mengingati perempuan tersebut tetapi jangan kamu berjumpa dengan dia secara rahsia)).


Justeru apa yang dapat difahamai daripada ayat tersebut adalah: Tiada masalah dalam mengingati perempuan tersebut, tapi jangan fikir nak buat yang bukan-bukan yang bertentangan dengan syarak’. Itulah apa yang sepatutnya difahami daripada firman Allah tersebut.


Kalau mengingati perempuan yang ajnabiyyah itu zina hati, tentunya Allah melarang para sahabat daripada mengingati perempuan, tetapi Allah sendiri tidak melarang bahkan memberi izin.

Justeru, yang dimaksudkan dengan zina hati itu adalah hati yang menaruh niat untuk berzina, menikmati hubungan persetubuhan luar nikah. Itu yang dimaksudkan dengan zina hati. Rujuk kembali konteks hadith berkaitan zina hati secara keseluruhan. Tidakkah di pengakhiran hadith tersebut Nabi ada menyebut:
وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ وَيُكَذِّبُهُ

Maksudnya: (dan kemaluan itu mengiyakan atau mendustakannya). Bermakna semua perkara daripada tangan, kaki, telinga, mata, lidah, hati yang menuju ke arah persetubuhan haram barulah dipanggil dengan zina. Sebab itu disebut di pengakhiran hadith (Kemaluan itu yang akan menentukan berlaku atau tidak berlakunya zina).

Sebab itu Ibnu Mas’ud menambah dengan katanya:

"فإن صدقه بفرجه كان زانيا وإلا فهو اللمم" أخرجه البيهقي في شعب الإيمان (5/393، رقم 7060)

Maksudnya: “Jika dia mengiyakannya (kehendak berzina) dengan kemaluannya maka dia menjadi penzina, jika tidak maka itu adalah Al-Lamam (dosa kecil)”. Dikeluarkan oleh Imam Baihaqi dalam kitabnya Shu’abul Iman (5/393, no 7060).

Jadi, zina kecil yang disebutkan itu adalah yang mengarah pada hubungan kelamin luar nikah. Oleh itu, melihat bukan mahram bukanlah serta-merta boleh digolongkan sebagai zina mata. Yang tergolong “zina mata” adalah pandangan yang menggoda dan penuh syahwat.

Dengan itu juga, menyampaikan kata-kata mesra kepada bukan mahram bukanlah semestinya tergolong sebagai “zina lisan”. Yang tergolong sebagai “zina lisan” adalah kata-kata pujuk rayu dan godaan kepada nafsu berahi.

Begitu juga halnya dalam masalah mengingati atau merindukan si dia atau pun merasakan getaran di hati ketika memikirkan si dia, bukanlah serta merta boleh tergolong sebagai “zina hati”. Pengertian “zina hati” adalah mengharap dan menginginkan kepada persetubuhan luar nikah sebagai memenuhi syahwat.


Wallahu'alam

Sumber : Portal PMMM

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...